SANDAKAN : Matlamat Pensifaran Kemiskinan Tegar perlu dicapai oleh semua penduduk di seluruh kawasan Kinabatangan, kata Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin kepada Tan Sri Khalid Ramli Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Projek, Jabatan Perdana Menteri di dalam sesi Taklimat Pembangunan dan Program Pembasmian Kemiskinan Daerah Kinabatangan, di sini.

"Kita mahu masalah pembangunan dan kemiskinan penduduk di seluruh kawasan ini dapat diselesaikan, dan dengan kehadiran Tan Sri ke sini maka dapatlah merasakan sendiri permasalahan yang dialami rakyat sekali gus kita mahu mencapai pensifaran kemiskinan tegar di daerah ini," kata Bung Moktar pada sesi taklimat pembangunan itu..
Tan Sri Khalid yang hadir bersama tiga pegawainya di bawah ICU mendengar Taklimat Pembangunan dan Program Pembasmian Kemiskinan yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Kinabatangan Abdul Latiff Kandok yang menerangkan secara terperinci masalah-masalah pembangunan dan kemiskinan yang dialami oleh penduduk-penduduk kampung di daerah ini.
Antara masalah pembangunan yang dialami oleh penduduk kampung di daerah ini adalah masalah bekalan air bersih luar bandar, masalah bekalan elektrik, masalah jalan raya dan jambatan lorong kaki.
Rentetan itu, sebanyak RM126 juta peruntukan diperlukan untuk menjalankan operasi penyelenggaraan, pemasangan, dan pelaksanaan projek seperti membaiki jambatan lorong kaki, pemasangan elektrik, dan pemasangan paip untuk membekalkan air bersih kepada penduduk kampung.
Manakala untuk mengatasi kemiskinan di kawasan Kinabatangan pula, peruntukan kewangan diperlukan untuk mambantu penduduk mengusahakan bidang pertanian dan ternakan dengan lebih efisien lagi khususnya dalam penanaman halia, ternakan lintah, dan sebagainya.
Berdasarkan laporan dari Pejabat Daerah Kinabatangan, seramai 2,368 catatan yang diperolehi merupakan ketua isi rumah termiskin (KIRT) di seluruh kawasan daerah Kinabatangan.
Manakala lebih kurang 2,000 permohonan penduduk memerlukan bantuan rumah melalui pakej Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Bagi memastikan masalah yang dihadapi penduduk kampung, rombongan parlimen Kinabatangan akan membawa Tan Sri Khalid dan pegawainya melawat beberapa buah kampung di sekitar daerah Kinabatangan seperti Pulau Lubukan, Tongod, dan Tanjung Aru untuk melihat sendiri kesusahan penduduk.
Dengan keluasan 1,759,380 hektar kawasan Kinabatangan yang meliputi daerah Kinabatangan, Tongod, dan 29 buah pulau di pesisir timur merupakan sebuah daerah yang luas dan mempunyai sejumlah 78 buah kampung.
Turut hadir di dalam taklimat adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Jeffry Ariffin, Naib Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan Azman Mastar dan semua ahli-ahli jawatankuasa parlimen tersebut.

Tamat.