SANDAKAN : Biro Hal Ehwal dan Aduan Awam UMNO Kinabatangan mengambil langkah proaktif menubuhkan laman blog biro dalam usaha menambahbaik organisasi sehingga ke peringkat akar umbi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia, Datuk Bung Moktar Radin berkata laman blog tersebut berupaya menjadi medium yang sesuai ke arah membawa perubahan dan memantapkan lagi parti agar kekal relevan sebagai jentera pentadbir negara.
` Maklum balas dan teguran yang diterima daripada orang awam melalui blog berkenaan secara tidak langsung dapat membangkitkan kesedaran di kalangan ahli UMNO dan pemimpin masyarakat untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dengan telus ‘, katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Blog dan Penyampaian Peti Aduan Biro Hal Ehwal dan Aduan Awam UMNO Kinabatangan di , Hotel 2 in 1 di Bandar Fajar, kelmarin.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berkata , perhatian serius perlu diberikan terhadap UMNO serta BN yang kini dikecam hebat oleh dakyah parti pembangkang. Dalam menghadapi fenomena tersebut, beliau dengan tegasnya menyeru agar setiap pergerakan UMNO mengambil apa jua pendekatan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian utama.
Justeru, beliau berharap pendekatan tersebut dapat membantu merealisasikan matlamat kerajaan yang mahukan agar rakyat dijadikan agenda utama dalam pentadbiran negara.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kinabatangan ini mahu masyarakat peka terhadap gelombang komunikasi digital terutama dalam pengunaan laman web dan blog.
Beliau berkata dunia tanpa sempadan kini tidak membataskan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar termasuk di Kinabatangan yang kini pesat membangun.
” Kita perlu peka kerana komunikasi di laman-laman web dan terutama pengunaan blog yang meluas adalah satu gelombang yang begitu popular di kalangan masyarakat di negara ini,”katanya.
Bung Moktar berkata ia sudah menjadi satu trend kepada budaya masyarakat kini mengunakan blog sebagai satu ruang bicara berkomunikasi secara cepat dan mudah di era zaman tanpa sempadan ini.
Oleh itu, katanya masyarakat Kinabatangan tidak harus ketinggalan dalam menguasai bidang komunikasi ala baru ini.
” Blog satu lagi trend budaya masyarakat kini. Kita boleh melontarkan apa juga masalah yang berkaitan dan apa yang ingin diutarakan melalui blog,”katanya lagi.
Orang awam boleh mendapatkan borang aduan di Pejabat Perhubungan UMNO Bahagian Kinabatangan, Pejabat Daerah Kinabatangan, Majlis Daerah Kinabatangan, dan Hospital Daerah Kinabatangan. Borang aduan tersebut akan mula diedarkan awal Jun depan. Selain itu, aduan juga boleh disalurkan menggunakan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) hantar ke talian 019-8733727 atau menghantar e-mel ke biro aduanumnokinabatangan @ gmail.com atau melayari laman blog, www.biroaduanumno kinabatangan .blogspot.com untuk maklumat lanjut.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kinabatangan Jeffry Ariffin, Naib Ketua Umno Bahagian Azman Mastar, Ketua Wanita Bahagian Datuk Hajjah Napsah Pg. Galpam, Ketua Pemuda Bahagian Matmin Etin dan para pemimpin Umno zon lima.
tamat