KINABATANGAN : Pengerusi Biro Hal Ehwal dan Aduan Awam Umno Kinabatangan, Awang Basrih Haji Osman meminta pihak berwajid terutamanya pihak Telekom Berhad agar memperbaiki perkhidmatan telefon awam yang diletakkan di kawasan sekolah di luar bandar.

` Dalam beberapa tinjauan yang dibuat oleh biro ini selepas menerima aduan orang awam dan penduduk kampung mendapati semua telefon luar bandar di daerah ini tidak berfungsi’, katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kinabatangan menjelaskan dimana usaha kerajaan dalam meningkatkan kemudahan awam seperti telefon awam dikawasan luar bandar ini telah terbantut ekoran tiada penyelenggaraan yang baik dari pihak dipertanggungjawabkan.

` Kita amat kesal dengan sikap pihak ini yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya sedangkan menyediakan segala kemudahan ini menelan belanja jutaan ringgit’, katanya.

Basrih berkata perkhidmatan telefon awam ini adalah amat perlu kepada penduduk di kawasan luar bandar.

` Ini juga merupakan salah satu penghubung penting penduduk kampung dan tidak sewajarnya perkhidmatan itu tiada penyelenggaran dari pihak Telekom Berhad’, katanya.

Basrih berkata beberapa aduan lain juga berkaitan perkhidmatan telefon ini telah diterima oleh pihaknya termasuk masalah perkhidmatan talian CDMA.

Beliau meminta pihak bertanggungjawab agar melaksanakan tanggungawab seperti yang diamanahkan oleh kerajaan dengan baik demi kepentingan rakyat.

Tamat.